Sunday, May 23, 2010

Cerita lebih lama

Antara perkara yang pasti boleh membuatkan kita tersenyum dan menangis secara keseorangan adalah apabila kita merenung kembali gambar-gambar lama kerana disebalik gambar tersebut tercatat terlalu banyak kisah yang telah kita lalui suatu masa dahulu. Sehingga kadang-kadang kita terasa ingin kembali ke zaman itu. Kadang-kadang kita terfikir orang yang kita kenal dahulu lebih baik dari orang yang kita kenal hari ini. Ada yang dari kita telah terputus hubungan dengan mereka. Kita mahu kembali seperti kita pernah bersama dahulu. Tidak dinafikan memori hari ini jugak baik tapi memori lama adalah yang terbaik dalam mencipta memori hari ini. Jika sesiapa dari anda yang ada didalam gambar ini, lelaki atau perempuan hubungilah saya. Barangkali kita boleh berbual di warung kopi.










Dimanakah anda sekarang?

Thursday, May 20, 2010

Cerita Rakyat

Cerita rakyat melalui pandangan mata kasar melayu adalah sebagai ekspresi budaya masyarakat melayu melalui kisah-kisah benar mahupun rekaan. Menekankan unsur pengajaran, cerita rakyat biasanya adalah cerita dongeng budaya melayu yang dijadikan panduan dalam mencipta tauladan terhadap masyarakat. Sehingga kini terdapt ribuan kisah rakyat yang telah ditulis oleh pelbagai penulis dan juga diperdengarkan didalam pelbagai majlis untuk dijadikan iktibar. Menjadi satu keperluan juga bagi kanak-kanak yang baru mengenal huruf dalam membeli buku cerita rakyat. Ini kerana bahasa yang cuba dipaparkan adalah dalam bahasa yang mudah dan sudah menjadi lumrah akan kanak-kanak sering terhibur dengan kisah-kisah binatang. Jika ianya ditulis dalam kisah haiwan, maka sang kancil adalah lagendanya. Dialah yang paling licik dan yang paling pandai dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Jadi kalau kita masih menghargai kisah-kisah begini, kerap-keraplah membaca kisah begini di internet. Apa yang penting, jangan kita rosakkan cerita rakyat dengan menggunakan nama ini dalam web sendiri dengan pelbagai 'post-post' karut.

Bahasa budaya bangsa.

Wednesday, May 19, 2010

Khabar Orang Sana

Khabar orang sana
Yang jauh beribu batu
Mungkin jua ke negeri Cina
Hingga disini hidup tak tentu

Khabar orang sana
Yang masih ingin mencuba
Setelah gagal dan merana
Untuk tidak terus dihamba

Khabar orang sana
Yang hilang dari mata
Hingga kini masih kemana
Apa sudah berumah di kota

Khabar orang sana
Yang masih jua hilang
Andai hidup masih berwarna
Harap jangan lupa bertandang


Maha, Jam 8 malam

Saturday, May 15, 2010

Untuk tidak kalah

Kita belumba
Berlainan tempat bermula
Menuju destinasi yang sama

Engkau dulu yang mula
Ketika aku masih tiada
Lalu engkau selesa

Tapi engkau leka
Pada suatu ketika
Lalu ia hampir tergendala

Kemudian datang aku pula
Tika engkau masih berusaha
Tapi ia pasti tak lama

Engkau masih disana
Pada lorong lurus yang sama
Tapi simpang engkau tak tahu di mana

Kemudian aku mula mengorak
Dengan pantas aku bergerak
Walau begitu aku tidak menolak

Sehingga aku ternampak titik
Ku perkuatkan yang lembik
Kerana aku sudah tertarik

Aku fikir aku yang didepan
Rupanya aku tidak perasan
Bahawa dia sudah meraikan

Aku fikir aku mahu melonjak
Dan tidak mahu berganjak
Tapi dia dulu dipuncak

Kini ku tahu engkau yang menang
Walau sesuatu telah berkurang
Engkau pasti bersenyum tenang

Walau begitu ia belum sudah
Aku tidak mahu kalah
Dengan cara cuba mengendah

Aku fikir aku dapat melupakan
Untuk menjadi seorang teman
Tapi itu masih dalam lamunan

Sekarang engkau pergilah jauh
Agar hilang semua yang keruh
Supaya tidak kembali tumbuh

Sehingga kini ianya susah
Tapi aku harus tabah
Kerana aku bukan lemah

Dan aku tidak mahu kalah!

Milik Siapa?

Yang itu makanan aku
Tapi jika engkau lapar
Aku boleh berkongsi

Yang itu minuman aku
Tapi jika engkau dahaga
Aku boleh berkongsi

Yang itu pakaian aku
Tapi jika engkau sejuk
Aku boleh berkongsi

Yang itu kenderaan aku
Tapi jika engkau perlu
Aku tetap boleh berkongsi

Yang itu katil aku
Tapi jika engkau mengantuk
Aku masih boleh berkongsi

Yang itu perempuan aku
Apa ini juga aku perlu berkongsi?

Yang sudah itu sudah!

Thursday, May 13, 2010

Pernah Dulu

Pernah dulu engkau berkata
Pada ketika engkau bercinta
Engkau tidak akan berdusta
Tapi kini engkau bersengketa

Pernah dulu engkau tertawa
Pada ketika engkau berdua
Engkau fikir sehati sejiwa
Tapi kini ianya tak terbawa

Pernah dulu engkau gembira
Pada ketika engkau bersama
Engkau anggap ia selamanya
Tapi kini semuanya tak sama

Pernah dulu engkau menangis
Pada ketika engkau terguris
Engkau anggap ianya sadis
Tapi kini semuanya bertapis

Apa engkau masih menunggu
Apa engkau masih merindu
Apa engkau masih disitu
Apa engkau tak kenal aku


Tinggalkan yang sudah!

Teknologi atau Magis?

Saya sedang bercakap tentang binaan yang boleh dikatakan agung. Seperti kisah piramid yang dibina sewaktu zaman lampau dahulu tanpa menggunakan sebarang kren dengan timbunan batu yang mana mencapai beratus-ratus kilogram hanya dijayakan dengan tenaga manusia sepenuhnya. Itu terletak di benua Afrika, iaitu Mesir. Lain pula ceritanya di Asia Tenggara. Indonesia adalah sebuah negara yang kini penduduknya kebanyakan beragama Islam. Akan tetapi pada satu ketika dahulu tamadun keagamaan disana didominasikan oleh Buddha dan Hindu. Ini dijelaskan dengan tinggalan binaan agung mereka. Jika tamadun itu kecil, masakan mereka mampu membina pusat ibadat yang mustahil dibina pada waktu itu. Terletak di Jogjakarta terdapat dua buah candi yang sangat terkenal di seluruh dunia iaitu Candi Borobudur dan Candi Prambanam. Sehingga kini ia masih belum dapat dipastikan teknologi apakah yang dapat membantu mereka menyiapkan binaan sebegitu rupa.










Disebelah kiri adalah Candi Prambanam dan sebelah kanan adalah Candi borobudur. Lihat pula saiz manusia dengan saiz candi. Ini adalah ajaib!

Aku perlukan tiket untuk ke sana!

Pada Engkau Ada Sesuatu

Pada engkau ada rindu
Yang pernah bersama dulu
Kini semua tinggal debu

Pada engkau ada sayang
Yang pernah engkau tuang
Kini semua telah hilang

Pada engkau ada cinta
Yang pernah engkau buta
Kini semua tinggal kata

Pada engkau ada setia
Yang pernah dulu beria
Kini semua tinggal cerita

Dulu cinta engkau mantap
Tapi semua aku sentap
Apa engkau masih berharap?

Amsyar Alaauddin dengan cuaca sekarang

Wednesday, May 12, 2010

Matlamat

Perbuatan itu pasti ada matlamat. Menulis blog juga ada matlamat. Matlamatnya adalah untuk meluahkan apa yang sedang terbuku dan kita pasti mahu ia di baca. Saya fikir matlamat saya sudah tercapai apabila saya mendapat tahu ada beberapa pengikut setia yang sering membaca blog saya. Meskipun jarang mereka tinggalkan komen, namun beberapa ayat tertentu telah digunakan sebagai inspirasi mereka. Jadi matlamat saya menulis blog sudah tercapai.

Teruskan membaca!

Tuesday, May 11, 2010

Blog

Sebenarnya ramai pengguna facebook adalah pengguna blog. Aku lihat ramai dari mereka gemar menulis didalam blog. Aku tidak mahu tahu apa yang mereka ingin sampaikan. Kerana terlalu banyak blog yang wujud setiap hari. Sehingga ada dari mereka yang terlalu gemar mengemaskini blog sanggup menulis entri 2 patah perkataan tanpa tajuk. Betapa mereka terlalu obses untuk memiliki blog. Walhal menulis tidaklah sukar. Apa yang kita perlukan cuma idea. Idea untuk menjana idea. Bukan idea untuk mematikan idea. Aku menulis di dalam blog bermula pada 2008, pada tahun itu hanya 2 entri yang dapat diriliskan. Kemudian aku sepi selama 1 tahun dan kembali aktif pada tahun ini. Menulis sesuatu adalah mudah, tetapi menulis sesuatu yang baik mungkin sukar. Seperti muzik, ramai yang kononnya minat bermuzik namun tidak ramai yang boleh bermuzik dan pemuzik yang hebat tidak semestinya berpakaian hebat.
Jadi jika anda mahu menulis, pilih sahaja satu tajuk kemudian anda uraikan sebuah cerita. Hampir setiap malam aku punya idea untuk menulis tetapi hampir setiap pagi juga aku lupa apa yang fikirkan semalam.

Blog itu satu 'trend'.

Monday, May 10, 2010

Oh Panas!

Aku tidak tahu kenapa sejak akhir-akhir ini cuaca selalu panas. Secara serius aku jelaskan bahawa aku berpeluh hampir 24 jam, dan hampir 24 jam jugalah aku tidak berbaju. Waktu makan berpeluh, waktu minum berpeluh, waktu melayari internet berpeluh, waktu memandu berpeluh dan waktu tidur juga aku berpeluh. Entah bila pula peluh ini mahu berhenti aku tidak pasti. Barangkali bila aku menginap di sebuah hotel yang mempunyai penghawa dingin yang berfungsi dengan baik. Ketika itu mungkin aku telah terlalu sejuk sehingga memerlukan sesuatu untuk dipeluk. Pada saat ini aku sedang mencari tempat lepak yang dingin yang mampu menghalang badan aku dari berpeluh. Aku jemu dengan badan yang sentiasa melekik. Barangkali aku patut aktif pada waktu subuh sahaja. Jika sesiapa ada idea tentang tempat yang nyaman dan agak tersembunyi, sila jemput aku ke sana. Aku mahu kedinginan dan sedikit privasi. Boleh juga melantak jagung bakar dan air soya ditemani coklat rocky pelbagai perisa.

Sedang berpeluh. Ini baru panas dunia.

Thursday, May 6, 2010

Lain tak berbeza

Kita fikir mereka jahanam
Tapi kita seperti semalam

Kita fikir mereka celaka
Tapi kita hanya bermuka

Kita fikir mereka lain
Tapi kita tak cukup kain

Kita fikir mereka berbeza
Tapi kita tetap serupa








Samakah kita?

Generasi

Rata-rata dari mereka ada kemahiran tertentu yang mahu diwariskan. Ada dari mereka yang mahu mewariskan perniagaan gedung besar, ada yang mahu mewariskan empayar perkapalan dan ada juga hotel 5 bintang kepada generasi baru mereka. Aku tidak punya semua itu. Aku cuma ada sedikit kemahiran dalam bersukan. Itu juga telah diwarisi dari bapaku sendiri. Jadi jika aku punya anak suatu hari nanti, pasti aku akan menurunkan kemahiran memukul bulu tangkis ini. Sekurang-kurangnya pandai juga dia bersukan. Soal muzik, aku belum terfikir. Itu mungkin bergantung kepada ibunya. Jika ibunya seorang pemain drum, maka dia akan bermain drum. Jika ibunya seorang Laurie Berkner maka dia akan sering menyanyikan lagu berunsur Dinosaurs. Sudah! Abaikan siapa ibumu, ini ayah mahu bercerita tentang 'backhand smash'.

Sukan tak sama dengan muzik.

Wednesday, May 5, 2010

Sangkar Lutsinar

Pernahkah kita terfikir tentang nasib burung di dalam sangkar? Kenapa ia tak dilepaskan? Mungkin kerana tuannya terlalu sayang pada burung tersebut. Namun belum tentu burung itu gembira. Ia perlu bebas, ia mahu terbang. Dunianya bukan didalam sangkar tetapi dunianya di hutan, di sungai dan di langit luas. Jadi ia sepatutnya hidup didalam dunianya sendiri tidak kira berapa sayang tuannya kepada burung itu. Memang benar burung itu di suap makanan setiap hari tetapi tidak mungkin ia akan senang bila dipaksa berada di alam lain. Jadi lepaskan sahaja burung itu, biarkan ia bebas.

Terbanglah, jika engkau ke tanah jangan lupa berkicap denganku.

Tuesday, May 4, 2010

Jawapan Bisu

Kadang mereka sering bertanya kenapa aku tidak menjawab apabila ditanya. Aku tahu setiap soalan itu memerlukan jawapan untuk dirungkai. Namun aku mahu menegaskan bahawa jawapan dari mulut sahaja adalah bukan jawapan sebenar. Tidak semestinya jawapan yang baik. Jawapan yang baik barangkali wujud bila kita mendiamkan diri. Barangkali diam itu adalah jawapan yang dapat menceritakan segala-galanya. Jadi apa salahnya kita mentafsirkan sesuatu jawapan itu sendiri apabila soalan kita tidak dapat dibalas dengan kata-kata.


Tak semestinya kita hanya perlu bertanya