Monday, April 26, 2010

Dunia Penulisan

Menulis boleh menjadi satu hobi dan hobi ini akan menjadi sesuatu yang menarik apabila setiap penulisan kita mendapat perhatian. Semua yang ditulis akan dibaca oleh ramai pembaca yang kadang-kadang kita tak jangka penulisan kita menjadi buah mulut dikalangan sesiapa sahaja. Tapi adakalanya penulisan yang terlalu banyak berkias akan menjadikan sesiapa sahaja kurang jelas. Tak mengapa jika mereka tidak faham tetapi apa yang membimbangkan adalah hasil karya itu disalah tafsirkan sehingga menimbulkan pertelingkahan kecil. Saya akui saya tidak gemar menulis sesuatu secara jelas, biasanya akan berlapik. Saya memohon ampun jika kiasan saya itu memgguriskan hati walhal saya tidak berniat begitu. Saya tidak menulis secara khusus sebaliknya am, jadi anda tafsirlah dengan sebaiknya. Jika tidak perlu sila abaikan. Saya tidak mahu mengguris hati sesiapa. Saya cuma mahu menulis dan berkongsi idea.

Risiko menjadi seorang penulis adalah diserang dengan pertanyaan.

Zaman Berzaman

Sekarang tahun 2010, sudah banyak yang berubah. Lihat manusia berubah, lihat zaman berubah, lihat musim berubah. Lebih gemar melihat laut kerana tetap sama. Kadang-kadang mahu kembali dan bermula semula. Tapi itu cuma mimpi di siang hari. Walaupun manusia berubah tetapi gambar tidak pernah berubah. Beberapa gambar dapat menceritakan berjuta maksud. Meskipun banyak gambar yang telah hilang namun masih ada yang tetap disimpan.


Zaman The Cribs
Zaman Newboyz
Zaman The Strokes
Zaman F4
Zaman Modern Talking


Terlalu cepat masa berlalu hingga melenyapkan zaman-zaman ini. Kalaulah kita dapat kembali, sudah pasti kita akan berpatah balik.

Dahulunya ia berwarna biru

Aku lihat langit itu biru
Semuanya tenang
Datang pula langit kelabu
Semuanya bimbang

Aku lihat langit itu biru
Semuanya ceria
Datang pula langit kelabu
Semuanya bermuka

Aku lihat langit itu biru
Semuanya tertawa
Datang pula langit kelabu
Semuanya berduka

Aku lihat langit itu biru
Semuanya berbual
Datang pula langit kelabu
Semuanya mual

Aku lihat langit itu biru
Semuanya kebal
Datang pula langit kelabu
Semuanya terjual

Aku lihat langit itu biru
Semuanya mahal
datang pula langit kelabu
Semuanya tertinggal

Aku lihat langit itu biru
Semuanya senang
Datang pula langit kelabu
Semuanya terbayang

Aku lihat langit itu biru
Semuanya sayang
Datang pula langit kelabu
Semuanya hilang

Aku lihat langit itu biru
Semuanya baik
Datang pula langit kelabu
Semuanya terbalik

Aku lihat langit itu biru
Semuanya indah
Datang pula langit kelabu
Semuanya gundah

Aku tidak bersedih dengan kedatangan awan kelabu, aku cuma terkilan dengan peristiwa yang belaku selepas kehadiran awan kelabu itu. Jangan gusar kerana sudah sampai masanya kita menanggung akibat tidak menghargai awan biru. Kita mahu selalu terang malangnya kita tidak dapat mengubah semua.

Langit oh langit!

Kemahuan dan Keperluan

Kita perlu jelas tentang dua perkara ini. Apa maksud mahu dan apa pula maksud perlu? Itu tak perlu diterangkan kerana anda semua tahu. kepada yang masih belum faham saya mengesyorkan bahawa anda membuka kamus dewan. Ketika menulis artikel ini saya sedang mendengar lagu Rabbani - Pergi tak Kembali. Ayat pertama dalam lirik lagu ini adalah 'setiap insan pasti merasa saat perpisahan terakhir'. Sebuah lagu dengan penulisan lirik yang cukup baik sehingga memberi impak kepada saya sendiri. Al fatihah kepada penyanyi utamanya Ustaz Asri yang telah kembali menghadap Allah. Saya pasti kita semua akan melalui kesan yang teruk dalam hati jika berlaku perpisahan kerana itu bukan kemahuan. Namun kita juga perlu sedar bahawa tak semua yang kita mahu itu adalah perlu dan tak semua yang kita tidak mahu itu adalah tidak perlu. Saya pernah menulis satu artikel bertajuk 'Mengimbas' dan mengajak anda kembali membaca post-post lama tak kira pada blog sesiapa sekalipun. Namun sedang saya membelek post-post lama pelbagai blog, saya terlihat beberapa perkara yang saya tidak mahu lihat. Perkara itu amat mengguriskan hati dan saya terpaksa segera menutup blog tersebut. Saya tidak dapat membuang perkara itu dan ia sudah bertapak kukuh didalam minda. Saya tidak mahu perkara begitu terjadi. Namun saya tertanya adakah perkara itu perlu? Jika tidak saya tidak mahu lagi melihat tetapi jika ya, saya tidak pula sanggup untuk terus begitu.

Dibakari!

Sunday, April 25, 2010

Cerita si Tukang Kasut

Ada satu tempat, tempat itu menarik sekurang-kurangnya dari pandangan aku. Di namakan tempat itu Kuala Terengganu. Bukan tempat aku dilahirkan. Tapi tempat dimana aku sekarang. Ia sudah mendapat gelaran Bandaraya Warisan Pesisir Air. Akan tetapi, ini bukan cerita pelancongan. Ini cerita tentang kehidupan manusia. Aku lihat dari sudut seseorang sedang menjahit di kaki lima. Dia bukan penjahit baju dengan mesin jahit Singer. Dia adalah si tukang kasut. Dia membawa peralatan tukul bukan untuk membina sampan atau mendirikan pondok. Dia cuma ada kelebihan dalam membaiki kasut. Dia tidak memandu kereta. Dia cuma mengayuh basikal ke tempat kerja dan dia cuma membawa beberapa keping roti untuk dijadikan alas perut. Ketika aku melintasinya, aku lihat dia sedang tertunduk-tunduk menyalitkan gam pada kasut milik siapa. Aku terlihat pula didalam poket bajunya ada dua keping wang kertas. Satu berwarna merah, satu lagi berwarna hijau. Aku pasti itu pungutannya untuk hari itu. Aku lihat langit hampir gelap. Dia belum pulang dan masih menukang. Melihat sakunya aku dapat membayangkan kenapa dia tidak berganjak dari tempat duduknya ke kedai makan sebaliknya cuma mengunyah kepingan roti yang tidak sampai 5 keping. Ini cerita ketika aku bekerja 3 tahun yang lalu. Tetapi hari ini aku masih melihat orang yang sama, duduk di tempat yang sama dan melakukan kerja sama. Dia tetap tidak berubah dari segi fizikal dan mental. Masih kuat dan masih mampu melontarkan senyuman sama seperti dahulu. Maaf kali ini aku tidak menjenguk ke sakunya, jadi aku tidak pasti apakah nilai itu juga masih sama. Itu tak mengapa, tapi aku faham bahawa dia adalah seorang yng hebat kerana masih ceria. Sambil membaiki kasut, dia sempat berbual dengan pelanggannya dan cerita yang disampaikan adalah cerita yang dihimpunkan bertahun lamanya. Cerita dari mata kasar seorang manusia tapi halus dihati sesiapa. Aku mahu berbual dengan manusia sebegitu kerana aku tahu dia pasti mempunyai jutaan cerita dan aku mahu cerita beliau menjadi sumber inspirasi. Aku mahu mendengar cerita itu. Cerita si Tukang Kasut.

Aku bercerita mengenai cerita dalam cerita.

Dihantui Bayang Lama

Aku tertanya kenapa bayang lama itu selalu sahaja menghantui aku sedangkan setiap saat aku telah cuba membuang perkara itu. Apa yang menakutkan ialah bayang itu bukan dari aku sendiri tetapi dari orang lain. Apakah kerana ia selalu disebut-sebut setiap hari. Aku percaya bahawa tak ada siapa dari golongan jantina aku mahu dihantui bayang tersebut kerana aku telah membuat bancian dari semua kenalan lelaki. Jawapan mereka bayangan itu terlalu menyakitkan bagi sesiapa yang benar-benar mahu berjalan jauh. Dan aku memang mahu berjalan jauh tetapi bayang tersebut sering menyentap dari belakang. Aku tidak pasti tentang kehendak bayang itu namun sentapannya terlalu kuat seolah olah mengajak aku berhenti dari meneruskan perjalanan. Tapi aku belum sampai dan aku belum mahu mengalah. Mendengar ungkapan dari empunya bayang itu membuat aku terus terfikir bahawa aku mungkin harus berhenti. Mungkin aku terpaksa berhenti. Barangkali ini bukan perjalanan aku. Jika dari awal aku tahu, aku pasti tidak akan memilih jalan ini. Yang jelas aku telah tersilap kerana tidak bertanya sebelum memulakan perjalanan. Jika aku berhenti, aku pinta ampun kerana itu yang terbaik. Seperti yang pernah engkau ungkapkan satu ketika dahulu.


Merasakan sesuatu yang tidak baik!

Tuesday, April 13, 2010

Permintaan iblis kepada Allah SWT

Anda pasti pernah terbaca peristiwa ini, atau sekurang-kurang pernah terdengar di majlis ilmu. Namun saya ingin mengingatkan kembali peristiwa ini, kerana saya pasti, saya dan anda semua merupakan manusia yang bersikap pelupa. Ini cuma untuk peringatan bersama.
Iblis pernah mendapat gelaran Al-Abid, yang membawa maksud ahli ibadah tapi telah dihalau keluar dari syurga. Namun sebelum iblis dihalau ke bumi kerana sikap bongkaknya yang tidak mahu sujud pada Adam A.S, dia telah membuat permintaan kepada Allah S.W.T.
Berikut adalah permintaan iblis

Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan masjid sebagai rumah ibadat manusia, apa pula rumahku?
Lantas Allah memberikannya TANDAS
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan azan sebagai seruan kepada manusia, apa pula azan ku?
Lantas Allah memberikannya apa saja BUNYIAN SEPERTI SERULING
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan makanan kepada manusia, apa pula makanan bagiku?
Lantas Allah memberikan MAKANAN HARAM SERTA YANG TIDAK DISEBUT NAMA ALLAH sebagai makanan iblis
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan minuman kepada manusia, apa pula minuman bagiku
Lantas Allah memberikan MINUMAN YANG MEMABUKKAN sebagai minuman kepada Iblis
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan pakaian kepada manusia, apa pula pakaian bagiku?
Lantas Allah memberikan PAKAIAN YANG TIDAK MENUTUP AURAT sebagai pakaian iblis
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan tulisan kepada manusia, apa pula tulisan bagiku?
Lantas Allah memberikan TATU sebagai tulisan bagi iblis
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan percakapan kepada manusia, apa pula percakapan bagiku?
Lantas Allah memberikan DUSTA, FITNAH sebagai percakapan bagi iblis
Iblis berkata, ya Allah, engkau telah memberikan tempat majlis ilmu kepada manusia, apa pula tempat majlis ilmu bagiku?
Lantas Allah memberikan KAKI LIMA, PASAR-PASAR sebagai majlis ilmu bagi iblis
Iblis berkata lagi, ya Allah, engkau telah utuskan rasul sebagai pembimbing manusia, apa pula utusanku?
Lantas Allah memberi WANITA SEBAGAI UTUSAN IBLIS!


Dikumpul dan diolah semula oleh Amsyar Alaauddin

Monday, April 12, 2010

Benarkah kita kalah?

Kita kecundang dalam sesuatu pertarungan
tapi benarkah kita kalah?
Kita gagal mendapatkan sesuatu yang kita ingini
tapi benarkah kita kalah?
Kita tidak berjaya memenangi hati seseorang
tapi benarkah kita kalah?
Kita sering tersungkur dengan serangan pihak lawan
tapi benarkah kita kalah?
Kita gagal melepasi beberapa halangan
tapi benarkah kita kalah?
Kita sering ditinggalkan seseorang yang kita sayang
tapi benarkah kita kalah?
Kita sering dibelakang dalam perlumbaan
tapi benarkah kita kalah?

Pada hakikatnya kita belum kalah. Lupakah kita pada satu kata hikmat 'kita tak kalah bila kita jatuh, kita hanya kalah bila kita tidak kembali bangun!' Apa yang tinggal ialah kita kembali bangkit kerana sesungguhnya kita belum kalah!


Belum mahu kalah!

Sunday, April 11, 2010

Langkah Kiri Langkah Kanan

Langkah kiri langkah kanan
Ada sendiri ada berteman

Langkah kiri langkah kanan
Perlu mandi perlu makan

Langkah kiri langkah kanan
Itu lelaki itu perempuan

Langkah kiri langkah kanan
Hebat menari hebat persilatan

Langkah kiri langkah kanan
Ada sembunyi ada terang-terangan

Langkah kiri langkah kanan
Manusia rugi manusia berangan

Langkah kiri langkah kanan
Langkah mati langkah sultan

Langkah kiri langkah kanan
Untung sendiri untung berbulan

Langkah kiri langkah kanan
Hidup mencari hidup berpedoman

Langkah kiri langkah sultan
Terfikir mati terfikir amalan



Amsyar Alaauddin