Sunday, April 25, 2010

Cerita si Tukang Kasut

Ada satu tempat, tempat itu menarik sekurang-kurangnya dari pandangan aku. Di namakan tempat itu Kuala Terengganu. Bukan tempat aku dilahirkan. Tapi tempat dimana aku sekarang. Ia sudah mendapat gelaran Bandaraya Warisan Pesisir Air. Akan tetapi, ini bukan cerita pelancongan. Ini cerita tentang kehidupan manusia. Aku lihat dari sudut seseorang sedang menjahit di kaki lima. Dia bukan penjahit baju dengan mesin jahit Singer. Dia adalah si tukang kasut. Dia membawa peralatan tukul bukan untuk membina sampan atau mendirikan pondok. Dia cuma ada kelebihan dalam membaiki kasut. Dia tidak memandu kereta. Dia cuma mengayuh basikal ke tempat kerja dan dia cuma membawa beberapa keping roti untuk dijadikan alas perut. Ketika aku melintasinya, aku lihat dia sedang tertunduk-tunduk menyalitkan gam pada kasut milik siapa. Aku terlihat pula didalam poket bajunya ada dua keping wang kertas. Satu berwarna merah, satu lagi berwarna hijau. Aku pasti itu pungutannya untuk hari itu. Aku lihat langit hampir gelap. Dia belum pulang dan masih menukang. Melihat sakunya aku dapat membayangkan kenapa dia tidak berganjak dari tempat duduknya ke kedai makan sebaliknya cuma mengunyah kepingan roti yang tidak sampai 5 keping. Ini cerita ketika aku bekerja 3 tahun yang lalu. Tetapi hari ini aku masih melihat orang yang sama, duduk di tempat yang sama dan melakukan kerja sama. Dia tetap tidak berubah dari segi fizikal dan mental. Masih kuat dan masih mampu melontarkan senyuman sama seperti dahulu. Maaf kali ini aku tidak menjenguk ke sakunya, jadi aku tidak pasti apakah nilai itu juga masih sama. Itu tak mengapa, tapi aku faham bahawa dia adalah seorang yng hebat kerana masih ceria. Sambil membaiki kasut, dia sempat berbual dengan pelanggannya dan cerita yang disampaikan adalah cerita yang dihimpunkan bertahun lamanya. Cerita dari mata kasar seorang manusia tapi halus dihati sesiapa. Aku mahu berbual dengan manusia sebegitu kerana aku tahu dia pasti mempunyai jutaan cerita dan aku mahu cerita beliau menjadi sumber inspirasi. Aku mahu mendengar cerita itu. Cerita si Tukang Kasut.

Aku bercerita mengenai cerita dalam cerita.

No comments: