Saturday, August 6, 2011

10 tahun bolasepak Malaysia

Malaysia, baru-baru ini telah melalui satu episod kedukaan apabila gagal melepaskan diri ke pusingan ke 3 kelayakan Piala Dunia Brazil, 2014. Tidak banyak yang diperkatakan, malah tidak mahu diperkatakan lagi. Saya mengikuti perkembangan bolasepak Malaysia kira-kira 10 tahun yang lalu, mungkin 12. Masih terngiang kekalahan perit Malaysia 0-1 di tangan Thailand pada final sukan SEA 2001 sehingga bapa saya mengoyak jadual perlawanan Sukan Sea serta merta ketika itu. Pada 2001 Malaysia pernah dibelasah pasukan gergasi Inggeris, Man Utd 6-0. Ketika itu Malaysia mempunyai seorang penyerang berbisa bernama Akmal Rizal Rakhli namun percubaan paling berbahaya dilakukan beliau adalah sepakannya sekadar singgah di palang gol. Sebaliknya Man Utd ketika itu masih mempunyai David Beckham, v.Nistelrooy dan Solksjaer. Saya menonton perlawanan itu sehingga ke wisel penamat. Lagi diimbas suatu ketika dahulu kita pernah ada Azman Adnan. Disifatkan sebagai pakar 'turning kick'. Juga kita pernah ada Khalid Jamlus. Hari ini bola sepak Malaysia masih sama. Cuma tidak lagi kelihatan Azman Adnan, Khalid Jamlus mahupun Akmal Rizal menyarung jersi Malaysia. Namun apa yang berbeza hari ini adalah penyokong bolasepak negara yang semakin hari semakin ramai. Kalau dulu sahabat wanita saya mengatakan 'tak minat bola' tetapi hari ini ramai dari mereka yang sudah menjejak kaki ke stadium. Mereka memakai jersi Harimau Malaya, memenuhi ruang laman sosial mereka dengan kisah bolasepak negara dan sudah mula berdebat tentang bolasepak. Selama 10 tahun, inilah kali pertama saya mampu melihat Harimau Malaya sebenarnya mempunyai penyokongnya sendiri. Sebuah perkembangan positif bagi negara. Kekalahan kepada Singapura tempoh hari bukanlah bermakna kita perlu lupakan Piala Dunia, ia cuma mengingatkan bahawa kita belum mampu bersaing untuk Piala Dunia 2014. Piala Dunia 2018 adalah di Russia, 2022 di Qatar.

No comments: